gambar hiasan |
بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةً
Maksudnya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sampaikan
dari ku walaupun sepotong ayat."
Hadis di atas merupakan ingatan daripada Baginda s.a.w.
kepada umatnya supaya menyampaikan apa sahaja daripada Baginda s.a.w. yang
diketahui kepada masyarakat. Mereka yang diberi kelebihan oleh Penciptanya
dengan sedikit ilmu pengetahuan yang bermanfaat, diminta berkongsi kemanisan itu
dengan saudaranya yang lain. Walaupun hanya sepatah perkataan, namun sekiranya
dilihat mampu memberi kebahagian kepada seseorang, sebarkanlah. Betapa indahnya
persaudaraan dalam Islam, perasaan individualistik dan egois dikikis daripada
hati umatnya bagi menjamin kebaikan dan kesejahteraan seluruh umat manusia.
Hadis yang dibincangkan di atas telah dituturkan oleh
Baginda s.a.w. dalam redaksi yang agak panjang dan saling memerlukan antara
satu sama lain. Rasulullah s.a.w. bersabda:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ
عَمْرٍو أَنَّ النَّبِىَّ صلى
الله عليه وسلم قَالَ
« بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةً
، وَحَدِّثُوا عَنْ
بَنِى إِسْرَائِيلَ وَلاَ حَرَجَ ،
وَمَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا
فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّار »
Terjemahan: Daripada ‘Abd Allah bin ‘Amr, sesungguhnya Nabi
s.a.w. telah bersabda: “Sampaikan dari ku walaupun sepotong ayat, dan tidak
mengapa mengambil (sesuatu) daripada Bani Israel, (akan tetapi) sesiapa yang
berdusta di atas nama ku secara sengaja, maka tersedialah tempat duduknya
daripada neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Tirmidhi, Ahmad dan Ibn Hibban)
Antara faedah-faedah yang boleh dipetik daripada hadis
ini:
1) Rasulullah s.a.w. mengingatkan kepada seluruh umatnya
supaya sentiasa
menyampaikan ilmu yang dimiliki kepada saudaranya yang lain,
walaupun hanya
sepotong ayat.
2) Berusahalah menyampaikan apa jua kebaikan kepada
masyarakat, kerana ganjarannya
begitu besar seperti yang disebut oleh Baginda s.a.w. dalam
sepotong hadis riwayat
Bukhari : “Demi Allah, sekiranya seorang lelaki memperoleh hidayah (daripada Allah)kerana (usaha) kamu, itu
lebih baik untuk mu daripada nilai unta merah (sesuatu yang sangat berharga).”
3) Kalimah ‘Anni (dari ku) menunjukkan bahawa ilmu yang
benar adalah sesuatu yang
datangnya daripada Rasulullah s.a.w. Daripada Rasulullah
s.a.w. samalah juga
daripada Allah s.w.t. kerana tutur kata Baginda s.a.w.
adalah wahyu daripadaNya.
4) Ancaman keras daripada Rasulullah s.a.w. kepada mereka
yang menyampaikan sesuatu
tetapi mendustai nya, atau dalam erti kata lain,
menyandarkan sesuatu itu daripada
Rasulullah s.a.w. sedangkan Baginda s.a.w. langsung tidak
pernah bersabda mengenai
perkara itu. Takutlah dengan ancaman keras ini !!!
5) Sepatah perkataan yang keluar berlandaskan ilmu adalah
lebih baik daripada omongan
panjang tetapi kosong daripada hidayah. Berhati-hatilah
ketika berbicara, kerana
satu patah perkataan yang keluar akan dipertanggungjawabkan
di hadapan Allah Jalla
wa ‘Ala
Sesiapa yg nak share, silakan, tidak perlu minta izin.
Ilmu ini datangnya dari Allah, untuk kita kongsikan demi kebaikan
bersama.
wassalam
No comments:
Post a Comment